anugerah Perdana Menteri kepada Ismail Ahmad selepas merasmikan MAHA
2008 di Pusat Taman Expo Pertanian, semalam
Kopi 'Radix' menang anugerah PM
Oleh SUWARNI MOKHTAR
SERDANG 12 Ogos - Tiada siapa menyangka industri pertanian berasaskan
herba mampu memberikan pulangan yang cukup lumayan.
Namun, syarikat HPA Industries Sdn. Bhd. berjaya membuktikan herba mampu
menjana keuntungan apabila pada tahun 2007 nilai jualan produk keluaran syarikat
itu mencecah RM63 juta.
Antara produk popular syarikat itu ialah Kopi Radix yang terkenal dengan
ungkapan iklan 'Mai Secawan'.
Berikutan pencapaian tersebut, HPA telah dipilih untuk menerima Anugerah
Perdana Menteri yang pertama kali diperkenalkan sempena sambutan Hari Peladang,
Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK). Dengan kemenangan itu, HPA Industries
membawa pulang hadiah wang wang tunai RM50,000, piala dan sijil.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi kepada Pengarah Urusan HPA, Ismail Ahmad pada majlis perasmian Pameran
Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2008 di sini hari ini.
Terdahulu, syarikat tersebut turut menerima Anugerah Pemasar Tani Jaya
Peringkat Kebangsaan 2008. Bagi anugerah ini, HPA mendapat hadiah RM30,000,
piala dan sijil.
Menurut Ismail, syarikatnya kini berusaha mewujudkan ladang roselle dan
pegaga memandangkan hasil ladang sedia ada tidak dapat menampung permintaan.
''Kami masih terpaksa mengimport roselle dari Sudan dan pegaga dari
Indonesia, jadi dengan adanya ladang roselle dan pegaga yang lebih besar ia akan
membantu mengurangkan kebergantungan terhadap negara luar,'' katanya.
Selain menetapkan sasaran keuntungan sebanyak RM100,000 pada tahun ini,
Ismail menyatakan bidang pertanian dan industri asas tani telah terbukti mampu
memberikan pulangan yang cukup lumayan sekiranya diusahakan dengan betul.
HPA memiliki empat buah kilang yang serba moden dan mengusahakan
ladang-ladang herba seluas 500 ekar. Ia mempunyai kira-kira 400,000 ahli serta
21,000 usahawan di seluruh negara. HPA Industries juga mempunyai lima wakil di
luar negara melalui aktiviti jualan langsung pelbagai peringkat (MLM).
Sementara itu, seorang lagi pemenang, Saidi Mamat @ Ghani yang diumumkan
memenangi Anugerah Nelayan Muda Kebangsaan memberitahu, beliau sedang merancang
untuk menjalankan perniagaan sarang burung manakala wang sebanyak RM15,000 yang
dimenanginya akan digunakan untuk membeli saham.
''Saya baru sahaja membeli beberapa buat bot lelongan Jabatan Maritim.
Bot-bot itu akan beroperasi tidak lama lagi,'' katanya kepada Utusan
Malaysia.
Menurut Saidi, beliau mula berjinak-jinak dengan penangkapan ikan sejak di
bangku sekolah tetapi mengusahakannya secara komersial pada usia 25 tahun.
Beliau kini mempunyai lima buah bot pukat tunda dan 30 buah sangkar ikan
siakap. Pendapatan kasar syarikatnya ialah kira-kira RM300,000 sebulan.
Pada majlis itu, beberapa anugerah lain turut diumumkan seperti Anugerah
Pertubuhan Peladang Jaya yang dimenangi oleh Pertubuhan Peladang Kawasan Penaga,
Pulau Pinang.
Penerima-penerima anugerah lain ialah Mohammad Hassan Mohammed Rawther (Peladang
Jaya Lelaki Kebangsaan), Lenah Simen (Peladang Jaya Wanita Kebangsaan) dan
Zulkarnain Painan (Peladang Jaya Muda Kebangsaan).
Pemenang bagi kategori Nelayan Jaya Kebangsaan ialah Din Ahmad, Kiew Yoke Loy
(Usahawan Ikan Air Tawar), Chia Kee Heng (Usahawan Air Payau), Zainuddin Zakaria
(Usahawan Penternak Ruminan Jaya Kebangsaan) dan Ishah @ Isa Awab (Usahawan
Penternak Bukan Ruminan jaya Kebangsaan).
Turut menerima anugerah ialah Unit Peladang Kampung Desa Sri Taman, Tuaran,
Sabah (Unit Peladang Jaya Kebangsaan) dan Persatuan Nelayan Kuala Kedah, Kedah (Persatuan
Nelayan Jaya Kebangsaan).
Kategori Kumpulan Komersial Tani Jaya Kebangsaan pula diraih oleh projek
berkelompok Sayuran Kampung Melayu Raya, Sagil Tangkak, Kumpulan Pengembangan
Wanita (KPW) Medan Jaya, Marang, Terengganu (Kumpulan Wanita Jaya Kebangsaan)
dan Syarikat Kebun Rimau Sdn. Bhd. (Anugerah Inovasi Teknologi Pertanian dan
Industri Asas Tani Kebangsaan).